Assalamualaikum...
Moga sihat sejahtera semua kawan-kawan..Hari ni saya nak menceritakan tentang empat perkara sahaja. Tidak banyak, mudah sahaja apabila dibaca sekali imbas. Tetapi bila dibaca kali ketiga baru kita akan perasan yang bukan senang nak buat benda ni. Ok, teruskan membaca...
Donut yang manis
Madu pun manis
Tapi macam mana dengan kemanisan iman???
Langkah Agresif Memburu Kemanisan Iman
INGATLAH DUA PERKARA
1. Kebaikan orang kepada kita
Jasa orang mestilah sentiasa diingati. Orang yang pernah menolong sama ada dengan wang ringgit, tenaga, masa dan sebagainya. Jika mampu dibalas, berilah balasan sebaiknya. Apabila ingat kebaikan orang kepada kita, kita akan menjadi lebih pemaaf kerana merasakan kebaikan orang lain melebihi kesalahannya.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : " Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur)".
(Surah al-Duha 93:11)
2. Kesalahan kita kepada orang
Manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Tipulah jika ada manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan kepada orang lain. Kita akan sentiasa terdorong untuk bermaaf-maafan kerana merasakan kesalahan yang dilakukan mesti dipertanggungjawabkan. Apabila mengingati dosa dan kekhilafan, akan menimbulkan rasa insaf, takut kepada Allah. Ingatlah dosa yang menyebabkan kita menangis lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.
LUPAKAN DUA PERKARA
1. Kebaikan kita kepada orang
Seterusnya sampai kepada perkara yang paling sukar iaitu jangan mengungkit-ungkit kebaikan atau jasa yang telah dibuat untuk orang lain. Kita hanyalah wasilah (penyampai) kepada nikmat Allah yang hendak diberikan-Nya kepada manusia lain. Seeloknya apabila kita telah membuat kebaikan kepada orang lain, cuba rasakan seolah-olah kita tidak pernah melakukannya. Biar tiada sesiapa pun yang tahu kebaikan yang dilakukan, hanya Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
2. Kesalahan orang terhadap kita
Kesalahan yang dilakukan orang terhadap kita mestilah segera dilupakan. Jika terus diingati bimbang menjadi bahan fitnah syaitan yang suka melaga-lagakan sesama manusia. Syaitan pasti bertepuk gembira jika manusia saling salah menyalahkan. Kita hanya hamba Allah dan manusia yang menyakiti kita juga hamba Allah. Tanamkanlah sifat pemaaf dengan hati yang benar-benar ikhlas. Insyaallah kita akan mencapai ketenangan hidup.
INGAT (2P)+ LUPA (2P) = KEMANISAN IMAN (Halawatul Iman)
Senang je kan formula ni, tapi tak semudah yang disangka. Kita sebagai manusia akan mudah tersasar dan kadang-kadang apa yang diucapkan dengan perbuatan tidak sama dengan kata hati. Apa yang perlu kita lupakan, kita terus ingat. Ini menyebabkan kemanisan iman semakin hambar dan tawar dalam kehidupan kita.
Oleh itu, saya di sini ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat yang lain supaya sentiasa memperbetulkan niat dan menjaga hubungan sesama manusia. Apa yang penting ialah pandangan Allah kepada kita bukan pandangan manusia lain terhadap kita.
Peringatan untuk diri saya sendiri dan sahabat lain,
Sekian, Wssalam...







